Tentang Cinta

Sunday, March 12, 2006

 

MUKADIMAH


“Kita tidak boleh mencintai orang lain,
sebelum mencintai diri sendiri.
Dan kita tidak boleh mencintai diri sendiri..
sebelum mencintai Allah!


Sudah ditakdirkan, akhirnya saya menulis tentang cinta. Walaupun saya sebenarnya sedang menyiapkan buku DILEMA MELAYU-ISLAM: KURANG FIKIR, KURANG ZIKIR tetapi sahabat saya terus mendesak juga untuk menyiapkan buku ini: Cintailah CINTA. Katanya, “tulisan awak tentang cinta dalam majalah I (terbitan Karangkraf) dan juga Anis (terbitan Galeri Ilmu) memang menyentuh, sudah ada ‘follower’nya tersendiri. Kenapa tidak diangkat subjek-subjek yang baik itu menjadi sebuah buku?”

Anak saya sendiri pernah memberikan salinan photostat artikel saya yang telah diedarkan di kalangan pelajar-pelajar di sebuah IPT tempatan yang bertajuk Cinta Remaja: Fitrah Jangan Menjadi Ftnah. Saya bersyukur. Walaupun itu hanya satu indikator kecil namun bagi saya sudah cukup untuk membutikan bahawa usaha saya selama ini disambut baik. Kenapa tidak saya hargai semua itu dengan usaha yang lebih besar dan serius? Umpamanya menulis sebuah buku khusus tentang cinta…

Saya senyum, akhirnya bersetuju memenuhi hajat sahabat saya. Memang, saya sudah lama ingin menulis tentang cinta – bahan-bahan telah lama disiapkan. Tapi terus jadi koleksi peribadi. Namun saya akui, saya menulis bukan kerana desakan dari luar tetapi letusan dari dalam. Saya sendiri punya anak remaja. Berdepan dengan persoalan dan perkembangan mereka. Cinta juga salah satunya. Cinta sebenarnya bukan subjek berkala, tetapi ia subjek sepanjang masa. Mudah-mudahan tulisan ini menjadi ibadah sekali gus menyebarkan ilmu untuk diabadikan sebagai amal jariah. Mudah-mudahan ada pahalanya untuk dihadiahkan kepada kedua ibu-bapa dan semua yang telah berjasa kepada saya. Amin.

Dan anehnya, subjek cinta yang saya tulis ini menjurus kepada cinta yang akan, sedang dan telah dilalui oleh golongan remaja. Maksudnya cinta antara lelaki dan perempuan. Sedangkan, usia saya sudah jauh meninggalkan alam remaja dan segala kisah cintanya. Namun, kata orang menulis melalui pengalaman (samada oleh diri sendiri ataupun oleh orang lain) lebih berkesan berbanding berdasarkan teori dan ilmu semata-mata. Saya berjanji, saya tidak akan hanya berlegar-legar di permukaan ‘presenting problem’ tetapi akan menyelam ke dasar ‘real problem’ – kita akan bertolak dari daerah cinta yang kecil kepada CINTA yang besar dengan melalui segala liku-likunya. Insya-Allah.

Dan sudah menjadi sunnatullah, seseorang tidak akan dapat melihat dengan jelas dan tepat apabila sesuatu objek berada terlalu hampir dengan matanya… perlu dijauhkan sedikit, barulah segalanya dapat dilihat dengan lebih jelas dan nyata. Ya, saya kini jauh daripada cinta remaja dan mungkin kerana itulah agaknya apa yang dulunya ‘kabur’ sekarang sudah sangat jelas buat saya menulis dan mentafsirkannya.

Teringat saya kepada sebuah cerita yang pernah dibaca sewaktu di sekolah rendah dahulu, seorang maharaja China telah bertanya kepada seorang pelukis yang terkenal, “melukis gambar apa yang paling mudah?” Jawab pelukis, “melukis gambar hantu.” Terkejut Sang Maharaja. Lalu dia bertanya lagi, “melukis gambar apa yang paling sukar?” Kali ini secara selamba pelukis menjawab, “gambar kuda, anjing, lembu dan sebagainya.”

Maharaja kehairanan lalu bertanya, “kenapa?” Maka pelukis pun memberi jawapannya, “melukis gambar hantu adalah mudah kerana tidak ada siapa yang pernah melihatnya. Jadi, kita boleh lukiskan apa sahaja bentuknya mengikut citarasa dan idea kita. Tidak ada orang lain yang boleh menyalahkannya. “ Beliau menyambung lagi, “ melukis kuda adalah yang paling sukar kerana hampir semua manusia telah melihatnya. Jadi kalau kita tersalah lukis, semua orang dapat mengesannya. Kita tidak boleh membuat silap sedikitpun tanpa dikesan oleh orang lain.”

Comments: Post a Comment



<< Home

Archives

March 2006  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?